Pages

Hadith of the Update

Narrated by Ibn 'Abbas,

The Prophet said, "There are two blessings which many people lose : (They are) Health and free time for doing good."

[Bukhari. Volume 8, Book 76, Number 421]

Quote of the Update

Freedom is the freedom to say that two plus two make four. If that is granted, all else follows.

-George Orwell

Friday, February 11, 2011

Sejarah Abdul Muttalib Menggali Zamzam

Telaga Zamzam

Abdul Muttalib merupakan datuk Nabi Muhammad SAW. Nama sebenarnya ialah Syaibah. Selepas berkahwin, Abdul Muttalib mendapat anak sulung lelaki bernama Harith.Apabila harith dewasa, Abdul Muttalib mendapat mimpi pelik. Imam Ibnu Ishak, seorang ahli sejarah yang besar melaporkan daripada Ali mimpi ini; ada orang datang menyeru Abdul Muttalib dan menyuruhnya menggali al-tibah. Abdul Muttalib bertanya kepada suara itu, "Apakah al-tibah itu?" Tetapi suara itu sudah hilang.
Malam kedua dia bermimpi lagi. Suara itu datang lagi menyuruhnya menggali barrah, "Apa barrah itu?" Suara itu sudah hilang. Abdul Muttalib dapat merasakan ada perkara penting, kerana dia tidak pernah mengalami mimpi begitu sebelum ini.
Malam ketiga dia bermimpi lagi, suara dalam mimpi itu berkata, "Gali madhmunah." "Apa itu madhmunah?" tanya Abdul Muttalib, tetapi suara itu hilang lagi. Semakin kuat Abdul Muttalib merasakan ada perkara besar melalui mimpi tiga malam berturut-turut ini.
Malam keempat suara itu berkata lagi, "Galilah Zamzam." "Di manakah Zamzam itu?" Kali ini suara itu menjawab, "Ia tidak akan kering selama-lamanya dan tidak akan berkurang, ia akan memberi minum kepada para jemaah haji tetamu Allah Yang Maha Agung, ia berada di antara perut dan darah, di sisi patukan gagak hitam yang ada bulu putih, di rumah kampung semut."
Yakinlah hati Abdul Muttalib dia diperintahkan menggali Zamzam. Masyarakat Mekah tidak tahu di mana Zamzam itu terkambus. Pada masa itu, tidak masuk akal pula kalau hendak menggali sekeliling Kaabah bagi mencari Zamzam. Esoknya, Abdul Muttalib mengajak anaknya Harith membantunya menggali Zamzam dan mempertahankannya apabila pemuka Quraisy yang lain menghalangnya.
Abdul Muttalib mula mencari tanda-tanda yang diberikan kepadanya dalam mimpi itu di sekitar Kaabah. Semasa mencari, satu rombongan Arab datang ke situ bagi menyembelih lembu mereka berhampiran dengan berhala Isaf.
Daripada penyembelihan ini, darah tumpah ke tanah. Lembu yang sudah disembelih itu pula tiba-tiba bangun dalam keadaan darah menghambur daripadanya dan jatuh semula di tempat lain. Rombongan tadi menyempurnakan sembelihan mereka di situ, dikeluarkan perut dan dilapah di situ.
Tahulah Abdul Muttalib, di antara tempat lembu itu mula disembelih tadi dan tempat dia jatuh semula, itulah kawasan untuk dia menggali Zamzam tetapi kawasannya besar, lalu dia mencari lagi tanda-tanda yang lain.
Akhirnya, dia menjumpai kawasan kampung semut. Tetapi kawasan cuma lebih kecil sedikit sahaja daripada kawasan pertama tadi.Tiba-tiba datang seekor gagak hitam yang pada bulunya ada satu bulu berwarna putih. Tahulah Abdul Muttalib itulah kawasan yang diisyaratkan dalam mimpinya.
Apabila Abdul Muttalib mula menggali, Quraisy mula gempar. "Apa yang kamu gali wahai Abdul Muttalib? Mana boleh kamu menggali di sini, di tepi Kaabah." Abdul Muttalib memerintahkan Harith anaknya supaya menghadapi Quraisy, sementara dia sendiri terus menggali tanpa menghiraukan kekecohan orang-orang Quraisy itu. Dalam kekecohan itu, Abdul Muttalib sudah sampai kepada batu penutup telaga. Abdul Muttalib menjerit, "Maha Besar Tuhan, Maha Besar Tuhan." Dengan itu tahulah Quraisy, Abdul Muttalib sudah menjumpai apa yang dicarinya.
Mereka bertanya lagi, "Apa yang kamu gali, wahai Abdul Muttalib?" Kali ini barulah Abdul Muttalib menjawab, "Aku menggali Zamzam." Abdul Muttalib terus menggali sehingga dia bertemu dengan Zamzam. Pada masa itu Quraisy mula tamak. Mereka juga hendak berkongsi telaga Zamzam itu dengan Abdul Muttalib. Mereka meminta Abdul Muttalib menjadikan Zamzam itu hak bersama. Masing-masing tamak ingin berkongsi telaga Zamzam dengan Abdul Muttalib. Hal ini adalah kemuliaan yang besar bagi mereka.
Abdul Muttalib tidak bersetuju kerana dia yang mula menggali dan pada awalnya mereka semua menghalangnya. Quraisy tetap berkeras dan perselisihan ini hampir menyebabkan berlakunya peperangan antara mereka dan suku Abdul Muttalib.
Akhirnya mereka semua bersetuju mencari hakim bagi memutuskan perselisihan mereka. Mereka semua bersetuju mengambil Kahinah, seorang pendeta wanita yang dihormati dalam masyarakat pada masa itu. Pendeta itu daripada suku Saad yang berada di Yathrib (Madinah). Mereka pun pegi ke Yathrib, apabila sampai di sana, Kahinah sudah pergi ke Khaibar. Mereka pun berkejar pula ke Khaibar.
Pada pertengahan jalan, Abdul Muttalib dan orang-orangnya kehabisan air, mereka meminta daripada Quraisy yang lain tetapi air mereka juga tinggal sedikit dan untuk mereka pun tidak mencukupi. Di tengah-tengah padang pasir yang tidak bertepi itu, mereka kehabisan air dan tidak ada sumber air berdekatan situ. Pada masa itu, orang-orang Abdul Muttalib putus harapan bagi mendapatkan air. Akhirnya mereka bertanya pandangan Abdul Muttalib.
Abdul Muttalib berkata, "Sekarang kita gali kubur masing-masing, daripada kita semua mati tidak ditanam biarlah seorang sahaja yang tidak ditanam iaitu yang paling akhir mati." Apabila sudah siap kubur, masing-masing menunggu saat kematian. Tetapi, akhirnya datang fikiran kepada Abdul Muttalib supaya berusaha lagi mencari air. Abdul Muttalib mengajak semua orang-orangnya mencari air. Semasa sibuk menggali, unta Abdul Muttalib bangun daripada duduknya terhentak kakinya ke tanah. Maka dengan kuasa Tuhan keluar air dari situ, Mereka semua dapat minum dan air masih ada lagi. Abdul Muttalib memanggil orang-orang Quraisy juga untuk mengambil air dari situ.
Melihat kejadian yang pelik itu, kesemua mereka berkata kepada Abdul Muttalib, "Yang memberi kamu minum air di tengah-tengah padang pasir ini, dialah yang memberikan Zamzam kepada kamu. Zamzam kepunyaan kamu." Mereka tahu, ini tanda Tuhan ingin memberitahu mereka Zamzam untuk Abdul Muttalib. Siqayah iaitu memberi minum kepada jemaah haji dan Zamzam adalah kepunyaan Abdul Muttalib dan keturunannya. 

-Dipetik dari buku 'Biografi Muhammad Bin Abdullah Perjalan Hidup Seorang Nabi'


~Lonymous~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...