Pages

Hadith of the Update

Narrated by Ibn 'Abbas,

The Prophet said, "There are two blessings which many people lose : (They are) Health and free time for doing good."

[Bukhari. Volume 8, Book 76, Number 421]

Quote of the Update

Freedom is the freedom to say that two plus two make four. If that is granted, all else follows.

-George Orwell

Tuesday, February 15, 2011

Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W

Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah binti Wahab yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Nabi Muhammad S.A.W adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Nabi Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan. Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib (Madinah) jadi Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu mereka pulang ke Mekah.
Semasa Siti Aminah mengandung, ayah Nabi Muhammad S.A.W meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan lagi. Sebelum Aminah melahirkan Nabi Muhammad S.A.W, beliau bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, "Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki." Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah.
Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Hasan bin Thabit, penyair Nabi Muhammad S.A.W menceritakan semasa baginda lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu 7 tahun. "Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, 'Bintang Ahmad muncul di langit.' Bintang ini hanya muncul apabila Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan." Hasan sendiri menyaksikan peristiwa itu.
Siti Aminah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Nabi Muhammad S.A.W, dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut sejarah, baginda dilahirkan dalam keadaan sujud dan telah berkhatan. Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Nabi Muhammad S.A.W ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.
Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya.Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad, 
Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad. Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi itu tertimbus.
Apabila Kisra (Raja Farsi) melihat kejadian-kejadian pelik ini, dia menjadi sangat takut lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.
Allah berkata dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud, "Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri dengar lagi sekarang akan dipanah." Ada antara pendeta ini yang menyebutkan pada Kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi.
Kisra bertanya maksud 14 anjung istana Kisra yang runtuh. Mereka berkata, "Kerajaan Farsi akan diperintah oleh 14 orang Kisra lagi dan selepas itu kerajaan Farsi akan jatuh." Kisra berkata, "14 orang Kisra lagi, memaparkan tempoh yang masih panjang, masih lama lagi, tidak perlulah dirisaukan."
Selepas kematian Kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa 4 tahun sahaja, 10 orang Kisra memerintah Farsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu Kerajaan Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Walaupun post ni lambat sikit, tapi harap-harap dapatlah memberi sedikit pengetahuan kepada yang membaca. Selamat Menyambut Maulidur Rasul. 


~Lonymous~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...