Pages

Hadith of the Update

Narrated by Ibn 'Abbas,

The Prophet said, "There are two blessings which many people lose : (They are) Health and free time for doing good."

[Bukhari. Volume 8, Book 76, Number 421]

Quote of the Update

Freedom is the freedom to say that two plus two make four. If that is granted, all else follows.

-George Orwell

Saturday, July 2, 2016

Sahabat


SAHABAT

TAK TAK TAK, BUNYI derapan kasut terompah menghampiri Grell dari belakang.

"Grell! Grell!" jerit satu suara yang sangat dikenalinya.

Grell berpaling, "Apa dia?" di tangan tergenggam pedang kegemarannya, D3 Criss, berwarna biru kemerah-merahan dengan elemen kilat.

Boom! Mata Grell silau dek Amiya Punishment yang meletus di depannya seperti api yang keluar daripada enjin roket yang sedang berlepas. Membutakan.

"Budak ni, kot ya pun takde PVP takleh ke greet leklok," getus Grell dalam hati. TQ berdiri di depannya memegang panah update terbaru. Entah apa nama, berwarna merah terang benderang dengan efek api.

"Hee," TQ buat muka toya, senyum tak bersalah. "Awak busy tak ni? Kita nak minta tolong sikit."

"Dah la fire orang dengan Amiya, ada hati nak minta tolong," marah Grell.

"Ala, saja je tu. Boleh la. Penting ni. Please please please," pujuk TQ.

"Apa dia?"

"Tolong ajar kita Maths, SPM dah dekat ni."

Grell ketawa, "Deyy kakak. Kita tinggal SPM dah berapa lama. Maths dah karat la. Sikit-sikit ada ingat la. Math Mod ke Math Tam?"

"Boleh punya. Awak pandai," mata tergedik-gedik konon nak pujuk Grell, "Math Mod. Ada soalan yang kita tak faham."

"Hmm. Kita try la eh. Yang mana kita tahu kita tolong."

"Okay. Thank you Grell! Buka Skype cepat!" arah TQ.

"Aye aye captain."

Grell menutup window game dan terus log masuk ke Skype dan belum pun sempat berbuat apa-apa, satu panggilan video terus masuk. Grell senyum sendiri dan terus menjawab panggilan tersebut.

"Test test. Dengar tak? Grell?" tanya TQ.

"Ah, dengar dengar, jap nak buka kamera," jawab Grell dengan nada bersahaja lantas menekan butang Switch On Camera di skrin.

"Aaa!!!" satu jeritan kedengaran di sebelah sana.

"Apa? Apa?" tanya Grell cemas.

"Awak tak pakai baju..." jawab TQ sambil menutup mata dengan 10 jari.        

“Dia ingat kita tak nampak yang dia curi-curi tengok celah-celah jari tu," fikir Grell sendiri. "Sorry. Tak perasan. Jap," cekap Grell mencapai bajunya yang tergantung di kerusi. Bilik asramanya bersaiz kecil, memuatkan dua orang. Roomate-nya pula tak ada di bilik, masih sibuk di kelas barangkali.

TQ memarahinya, "Lain kali check la dulu. Apa la."

"Ya la. Sorry. Mana soalan?" Grell menjawab malas.

"Yang ni dulu," TQ menunjukkan soalan di hadapan kamera.

"Tak jelas la. Cer rapat sikit," beritahu Grell namun soalan tersebut masih tidak jelas di skrin.

"Kita snap gambar la. Jap." Beberapa saat kemudian TQ pun menghantar beberapa keping gambar. Kali ini barulah jelas kelihatan soalannya.

"Haa, ni okay. Bagi kita a few minutes. Nak tengok soalan," beritahu Grell.

"Baik bos!" balas TQ.

Tiba-tiba kedengaran bunyi piano dari dalam earphone-nya. TQ sedang memainkan lagu original hasil gubahannya sendiri.

"Piece baru lagi? Hebat la awak. I want your first, second, third and so on album. With autograph and for free please," Grell mengipas baik punya. TQ ketawa.

"Ha ah. Baru. Best tak?"

"Could use some more work tapi kita suka," balas Grell dengan senyuman, ikhlas memuji sahabatnya. Dia memang mengagumi TQ yang sangat mahir bermain muzik. Grell pernah bercita-cita menjadi pemuzik semasa kecil tapi setelah menghadiri beberapa kelas, dia menyerah kalah. Alasannya, dia tidak berbakat dan fikirnya lebih baik fokus kepada perkara lain. Apa perkara lain tu, sampai sekarang dia masih tidak tahu.

"Ni kita dah siapkan soalan ni. Check la jawapan dia betul ke tak."

TQ berhenti bermain piano dan terus memeriksa jawapan Grell.

"Yup. Betul. Cane awak buat?"

"Gini," Grell terus masuk mod mengajar. Bila masuk mod ni, dia terus straight to the point, tak cakap banyak. Akan diajarnya orang tersebut sampai faham, begitulah sikap Grell yang pernah bercita-cita menjadi seorang guru.

"Okay. Kita faham dah semua soalan-soalan ni. Nanti kalau ada soalan lain, kita call lagi ok?" tanya TQ.

"Tak jadi hal. Setakat mana kita tahu kita tolong la," balas Grell.

"Adik!!! Hang sembang ngan sapa lama sangat? Hang pi buat kerja sekolah nuh," marah satu suara.

"Alamak, mak kita! Dok buat la ni mak!! Ada kawan ajaq!!" jerit TQ. Cepat-cepat dia mematikan panggilan dan meninggalkan Grell sendirian. Grell ketawa terbahak-bahak.

"You're welcome," getusnya di dalam hati.

Begitulah hidup mereka hampir setiap hari selama beberapa bulan. Grell mengajar TQ Matematik dan kadang-kadang, diredahnya juga mengajar subjek lain walaupun sudah hampir 5 tahun meninggalkan sekolah. Sebagai balasan, TQ pula akan memainkan piano untuknya setiap hari buat menghilangkan keletihan dan kusut di kepala dengan pelajarannya sendiri.


***Setahun kemudian***

Letih doh hari-hari kelas sampai petang macam ni. Seminggu straight bro. Huu, tak tahan,” beritahu Ad kepada Grell sambil membuka pintu bilik mereka. Grell melangkah masuk dan memasang kipas terlebih dahulu. Kerusi ditarik betul-betul di bawah kipas dan dia duduk sambil membuka kemejanya.

“Nak sangat kau buat Medic, haa tahan la. Nak-nak pula musim El-Nino, panas tak ingat,” Grell menyambung perbualan. Ad cuma ketawa kecil sebelum naik ke atas katil double-decker, standard katil di mana-mana asrama penuh tu.

“Baring jap, penat,” kata Ad malas. Penat sungguh kelas back to back  sepanjang hari, rehat cuma waktu makan tengah hari. Sempatlah solat dan makan sikit. Biasalah tu hidup di universiti, walaupun ada jadual kuliah, tapi masanya tetap berubah-ubah mengikut jadual kerja pensyarah sendiri. Akhirnya jadual yang lapang menjadi sesak juga.

Grell menghidupkan laptopnya di atas meja study lantas ke bilik air mengambil wuduk. Selesai sahaja menunaikan solat asar, dia membuka Facebook.

“Hari ni result SPM kan? Mesej TQ jap,” Grell berkata kepada dirinya sendiri. “Salam. TQ. Pekabo yong. Acano result? Hehe,” butang Send ditekan.

“Skype…” balas TQ.

Lah, online rupanya. Macam tak kena je minah ni.” Tanpa bertanya banyak, Grell terus log masuk ke Skype dan seperti kebiasaannya, satu panggilan video masuk sebelum dia sempat melakukan apa-apa.

“Grell… Kita kena marah dengan family kita. Teruk,” beritahu TQ teresak-esak. Suaranya sayu. TQ membuka cermin mata dan mengesap air mata dari pipinya.

“Kenapa ni? Ni mesti menangis sepanjang hari ni. Teruknya muka,” Grell Cuma senyum tawar tak tahu bagaimana nak memulakan bicara. Soalan ditanya sekadar berbasa basi walaupun jawapannya sudah boleh di agak di dalam kepala.

“Mak marah sangat tadi… Kakak-kakak pun sama, kata kita bodoh, tak kesian kat mak…” kata TQ.

Grell mengangguk tanda faham namun dia terus mendiamkan diri. Dia tahu benar, masa-masa begini, menjadi pendengar lebih baik. TQ meneruskan bicara.

“Kita sedar kita tak pandai. Kakak-kakak kita lawyer, medical student…” beritahu TQ, “Kita? Arts je. Lukis-lukis je pandai. Mak kata takde masa depan. Grell… Kita tak tahan.”

“Eh. Tak adalah sampai macam tu. Bagi kita, Arts ni antara yang cerah masa depan dia kat Malaysia. Kan sekarang zaman kartun-kartun Malaysia naik. Tapi boleh kita tahu, kenapa mak dengan kakak-kakak cakap macam tu?” Grell bertanya lembut.

“Kita dapat 2A je. Maths dengan Seni. Takde fail, tapi banyak C.”

“TQ fahamkan sekarang kenapa diorang marah?”

“Tahu… Tapi dah nasib. Nak buat macam mana?”

Grell menyusun ayat dalam kepala supaya mesej yang hendak disampaikannya diterima dan tidak menyakitkan hati TQ.

“TQ, awak ingat tak, dalam seminggu dua sebelum SPM, kita tanya awak, kenapa main game lama sangat. Tak study ke? Ingat?”

“Ingat…”

“Lepas kita tanya tu, awak off sejam. Lepas tu tengok-tengok, awak online balik. Main pula 3-4 jam. Perasan?”

“Perasan…” muka TQ makin sugul. Pipi yang sudah mula mengering kembali basah dek air mata yang bercucuran.

“Sejam tu… Awak buat apa?”

“Kita…study…”

Grell tahu TQ menipu melalui gerak-geri badannya, matanya yang dipalingkan ke arah lain, jawapannya yang teragak-agak. Dia kenal benar kawannya. Memang ketagih dengan game online. Masanya dihabiskan berjam-jam setiap hari untuk game, sehinggakan kadang-kadang, 12 jam mudah-mudah saja terbuang di hujung minggu.

“Awak rasa, study sejam, main game 3-4 jam, balance ke?”

TQ cuma diam seribu bahasa. Grell menyambung lagi.

“Tak baik tau. Salahkan nasib macam tu. Kita kena tengok juga, usaha kita macam mana. Allah ni tak kejam. InsyaAllah, selalunya, dia akan bagi balasan yang setimpal dengan usaha kita.”

“Tahu… Grell. Tolong kita…” TQ mula menangis teresak-esak. Empangan air mata yang ditahannya bersungguh-sungguh akhirnya pecah juga. Grell senyum kerana tahu mesejnya sampai. Dia menukar topik, topik yang tadi biarlah bersambung di kemudian hari. Bila emosi TQ sudah stabil sedikit.

“Tak apa. Kita teman awak hari ni,” Grell membatalkan niatnya keluar bermain bola tampar petang ni. “Kita faham perasaan tu. Kita pun pernah fail teruk exam. Ayah kita pun kata kita antara yang paling bodoh dalam batch kita sebab fail. Teruk kita kena marah masa tu.”

“Ayah awak pun sama?”

“Yup. Tapi kita faham. Dia sebenarnya marah sayang. Kadang-kadang parents kita memang macam tu, diorang terlepas cakap sebab sedih sangat. Mak awak kita pasti dia pun macam tu. Yang penting, sekarang ni, awak kena kuat, jangan ambil hati sangat apa family kata. Bagi diorang masa. InsyaAllah, diorang akan cool down nanti.”

“Tapi macam mana nak kuat Grell… Kat meja makan, takde sape tengok muka kita. Semua diam je. Kita tak lalu makan, terus naik.”

“Kenapalah teruk sangat family support dia ni,” fikir Grell sendiri. “Hey! Mana boleh tak makan. Tapi untuk menjawab soalan tu, nak kuat senang je. Kita kan ada.” Grell ketawa.

Eleh,” TQ senyum sumbing. “Awak ada boleh buat apa?”

“Kita boleh dengar masalah awak. Setidak-tidaknya, ada la juga orang nak bersembang kan?”

Alah, itu kawan kita yang lain pun boleh buat. Apa bezanya. Ceh.”

Haa, itulah awak tak tahu. Bezanya sekarang, awak cerita masalah awak kat kita. Bukan diorang.”

Bweekk,” TQ menjelir lidah. “Kita boleh je nak cerita kat diorang. Tapi kalau cerita kat yang happy, kan ke rosak pula hari bahagia dia. Kalau nak cerita kat yang senasib dengan kita, kesian burden kat dia pula.”

Grell tersenyum melihat gelagat kawannya. Bersyukur melihat sahabatnya yang sudah kelihatan ceria sedikit. “Makanya, itulah beza dia kakak. Kita neutral. Awak nak cerita benda sedih ke, happy ke, kita okay je.”

“Okay. Nanti kita cerita banyak-banyak sampai awak penat. Padan muka. Nak sangat jadi kaunselor kita. Kita tak kira, satu minggu ni, awak kita punya!!!”

Ketawa mereka pecah.

“Grell. Terima kasih ya tolong kita. Setidak-tidaknya kita ada 2A. And, satu A tu sebab awaklah,” TQ memberitahu Grell jujur.

Eh? Pula? Macam mana pula sebab kita?”

“Awak kan selalu ajar kita Maths. Banyak latihan yang kita buat masuk exam. Pastu kita ingat semua tips awak kasi. Senang faham, senang ingat, senang buat.”

“Oh, kita tolong sikit je. Kalau awak tak cari kita, tak jadi juga.”

Still! Terima kasih. Boleh je awak decline. Awak kan student medik, busy. Nak main sukan lagi petang-petang. Tapi bila kita minta tolong, ada je masa awak.”

“Ya lah. Sama-sama. Kita tolong ikhlas. Awak macam adik kita, kita nak awak berjaya. Itu je.

“Hmm. Grell…”

“Apa?” “Haa sudah. Budak ni nak confess kat aku ke? Alamak, naya aku ni. Salah step ke?” fikir Grell. Mukanya merah, kepalanya pening memikirkan bagaimana cara terbaik untuk menjawab luahan cinta si TQ nanti.

“Betullah kan, usaha tangga kejayaan. Yang kita usaha dengan awak, kita boleh je dapat A. Seni pun dapat A sebab kita memang selalu melukis, benda kita minat. Yang lain-lain tu, betul, kita lebih banyak main daripada belajar. Kita rasa ni la dia hikmah yang Allah nak bagi kat kita.”

Grell menutup mulutnya yang melopong. Dia cuba menyembunyikan mukanya yang semakin merah padam, malu kerana berfikir yang bukan-bukan. “Err. Aaa. Aah. Betul la tu. Betul sangat. Usaha tangga kejayaan.” Di sebalik rasa malu, timbul juga rasa gembira kerana topik yang dihajatkan untuk disambungnya ketika emosi TQ stabil sepertinya sudah tidak relevan lagi. TQ sudah menyedari kesilapannya dan itu sudah cukup buatnya.

“Kenapa muka awak merah? Eee. Lawaklah.”

“Ma-mana ada. Tak merah pun.”

Ketawa mereka pecah lagi. Kedua-duanya yang tadi kepenatan dengan kehidupan masing-masing kini terhibur. Grell bahagia melihat kawannya tersenyum, TQ pula gembira mengetahui dia mempunyai sahabat sebaik Grell. Sedikit pun mereka tidak menyangka, bermula dengan pertemuan di dalam satu game online, yang kemudiannya terbawa-bawa ke Facebook dan Skype boleh pergi sehingga tahap ini. Mereka tidak pernah bersua muka namun dalam diam-diam, kedua-duanya menyimpan harapan agar mereka dapat bertemu satu hari nanti. 


~Jaw~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...