Pages

Hadith of the Update

Narrated by Ibn 'Abbas,

The Prophet said, "There are two blessings which many people lose : (They are) Health and free time for doing good."

[Bukhari. Volume 8, Book 76, Number 421]

Quote of the Update

Freedom is the freedom to say that two plus two make four. If that is granted, all else follows.

-George Orwell

Saturday, March 17, 2018

Aku Buat Seorang Makcik Menangis

Sungguh apa yang kau katakan amat berbekas di hati orang, maka katakanlah perkara yang baik-baik.

Aku masih ingat lagi akan satu kejadian, di mana aku telah membuat seorang makcik yang sudah separuh umur, menangis kerana apa yang aku katakan. Berbekas di hatinya, namun lebih-lebih lagi terkesan di hatiku sendiri.

Hal ini terjadi lebih kurang semasa aku berada dalam tahun 2 atau 3 pengajian di universiti. Pada masa itu sahabat-sahabatku ramai yang sibuk dengan Festival Kelestarian Islam (FESKI), satu festival di mana para pelajar Muslim sibuk berkongsi dengan seluruh warga kampus mengenai Islam dalam berbagai bentuk. Ada yang mahir berlakon, maka disebarnya nilai-nilai murni Islam melalui persembahan teater yang menggoncang jiwa. Ada yang pandai berkata-kata maka dikongsikan bersama semua orang mengenai Islam dengan ceramah, forum dan sebagainya.

Namun yang paling dekat dengan hati aku adalah pameran yang dianjurkan oleh pihak FESKI. Aku juga suka bercerita dan berkata-kata, namun aku tiada keberanian untuk berdiri di hadapan khalayak ramai. Letak sahaja aku di hadapan podium, biar cuma ada 5-10 orang yang mendengar, aku tetap jadi kaku. Lucu. Jadi aku cuma mampu berkongsi serba sedikit ilmu yang aku ada melalui pameran-pameran sebegini.

Tema FESKI pada tahun tersebut adalah 'Misconceptions in Islam'. Pengarah FESKI pada tahun itu memilih tajuk tersebut kerana ingin memberi pencerahan kepada orang awam mengenai konsep-konsep asas Islam yang sering kali disalah fahami orang Islam sendiri, apatah lagi yang orang bukan Islam.

Sedang aku berdiri di satu bahagian pameran yang menceritakan mengenai pengharaman beberapa jenis binatang daripada dimakan, beberapa kenalan aku yang berbangsa Cina datang membaca maklumat yang ditempelkan di situ. Aku lihat beberapa AJK yang menguruskan bahagian tersebut sedang sibuk melayan tetamu yang lain, maka aku beranikan diri untuk mendekati mereka dan menawarkan diri untuk menerangkan kepada mereka, setakat yang aku mampu, sekiranya mereka ingin bertanya mengenai apa-apa saja.

Mereka mengajukan beberapa pertanyaan, dan tanpa aku sedar, ada seorang makcik bersama suaminya berdiri di sebelah kami. Walaupun matanya kelihatan tertampal di pameran tersebut, namun telinganya mendengar satu-satu perkataan yang aku sebut. Sebaik sahaja soalan-soalan sahabatku sudah terjawab, mereka meminta diri dan pergi ke bahagian lain pameran tersebut.

Makcik tadi datang menghampiri aku, "Terima kasih adik. Terima kasih banyak-banyak," katanya sambil mengalirkan air mata.

Aku yang kebingungan bertanya kepadanya, "Makcik, kenapa menangis? Apa yang saya buat sampai makcik mengucapkan terima kasih?"

"Makcik sebenarnya seorang Muallaf. Sudah lebih kurang 14 tahun makcik memeluk Islam, tapi mendengar kamu bercerita pada kawan-kawan kamu mengenai Islam, makcik jadi sebak. Terasa macam zaman makcik mula-mula terbuka hati masuk Islam dulu," jawab dia.

Aku kaget dan tak mampu berkata-kata. Makcik tersebut menyambung lagi, "Semoga Allah merahmati adik dan sahabat-sahabat. Makcik dah tengok pameran ni semuanya. Makcik suka sangat dengan apa yang dibentangkan. Makcik sebenarnya seorang cikgu. Makcik teringin nak menjemput adik buat pameran ni di sekolah makcik. Tak perlu ubah apa-apa isi. Bawa saja bahan-bahan yang sudah ada dan gunakan semula."

"Allahu. Terima kasih makcik. Saya kelu ni tak tahu nak kata apa. Alhamdulillah. Terima kasih dan semoga Allah juga merahmati makcik dan keluarga. Tapi saya minta maaflah makcik. Saya cuma secara kebetulan saja di sini, saya bukan AJK. Sebentar saya panggilkan ketuanya ke mari dan makcik panjangkanlah jemputan tadi kepada dia," balas aku. Aku terus memanggil ketua yang bertugas dan menyampaikan permintaan makcik tadi kepadanya. Dia terus meninggalkan kerjanya dan bergegas ke arah makcik tadi.

Semasa mereka sedang sibuk berbincang, aku meminta diri dan terus pulang ke bilik. Setiap kali ada saja perkataan buruk yang hampir-hampir terpacul keluar dari mulut aku, kisah inilah yang menahan aku daripada menyebutnya. Lagi pula, Allah juga mengingatkan kita dalam surah Al-Baqarah, ayat yang ke 83,

Photo courtesy of NU Online

Semoga perkataan-perkataan yang baik tu menjadi sebab untuk kita ke syurga.


~Jaw~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...